Wednesday, June 13, 2018



MASALAH SIFATNYA SEMENTARA
============================

Allah jadikan manusia memang bersifat kuat. Itulah sebab Allah sifatkan kita sebagai sebaik-baik kejadian. Manusia memang boleh menerima dugaan dan cobaan walaupun pada skala yang besar. Cuma kita sering kali menyifatkan dugaan itu harus diterima pada masa itu juga, atau ia harus dilalui dalam jangka masa yang pendek. Bila kita melihat pada skop beginilah yang menjadikan dugaan itu dilihat berat untuk ditanggung. Seolah-olah lebih baik mati dari menanggungnya.

Namun jika kita faham fitrah perjalanan jiwa manusia itu sendiri, pasti otak kita akan lebih ringan memproses setiap masalah besar yang dihadapi. Contohnya, jika kita mampu mengerah otak berfikir "dalam enam bulan atau setahun lagi masalah besar yang aku tanggung sekarang ini pasti akan menyurut atau hilang langsung, atau pun ia boleh diterbalikkan menjadi manfaat pula". Semua perkara di dunia ini bersifat sementara, termasuklah juga masalah. Kita kena optimis pada suatu hari nanti masalah tersebut pasti akan di neutralize, malah boleh diarahkan menjadi peluang pula.

Teori ini telah banyak digunapakai oleh pihak opportunist, contoh bagaimana perang telah dimanfaatkan sebagai suatu kesempatan kita bersatu dan akhirnya menjadi kekuatan untuk mengalahkan musuh. Jika tiada peperangan tersebut, mungkin kita jalani hidup secara nafsi-nafsi sahaja. Begitulah juga dalam situasi poligami. Pasti ada situasi yang boleh kita lihat dimanakah ruang yang boleh kita (suami, isteri-isteri dan anak-anak) manfaatkan di suatu masa nanti iaitu apabila sakit hati dan kebencian sudah mula menyurut. Fikirkan, apa faedahnya kita hendak membawa perasaan negetif itu sampai ke lubang kubur.

Saya ada melihat satu keluarga poligami, Semasa hayat suami, madu-madu berseteru level gear 5. Saat kematian suami, madu-madu terpaksa berkerjasama untuk menguruskan jenazah. Kebencian perlu diselindungkan seketika pada masa itu. Di situlah mula berdetik rasa ingin berbaik sangka. Sekarang ini, madu-madu tersebut sudah ibarat adik beradik. Pergi tunaikan umrah pun sudah bersekali. Malangnya nikmat tersebut mereka rasai hanya setelah kematian suami.

Jadikanlah ini pengajaran. Masalah bukan kekal. Tidak rugi kita jadi insan yang berjiwa besar. Allah sayang insan yang sedemikian. Jadilah insan yang dambakan syurga dengan kekuatan jiwa sendiri, bukan 'jiwa ciptaan' yang disandarkan pada orang lain. Setiap orang akan menanggung nasib amal perbuatannya bersendiri di akhirat nanti. Tiada konsep menanggung dosa di dalam agama fitrah ini.

Wallahua'lam

#HishamNamat
#PerundingPoligamiHarmoni

No comments:

Post a Comment