Friday, April 26, 2019

LELAKI HANYA TAHU NAK POLIGAMI JE


Ada pihak yang masih tidak faham-faham akan kebaikan BERANI BERTERUS TERANG. Mereka gagal melihat dari sudut 'kemenangan' dua perkara ini iaitu:

1. KEBERANIAN
2. KEPERCAYAAN

Group Solusi Bahagia Berkongsi Kasih (SBBK) diwujudkan dengan tujuan mendidik dan 'memberi nampak' betapa pentingnya dua perkara di atas. Sesiapa pun boleh berpoligami. Bukan susah pun. Dengan hanya satu penipuan atau anda gelarkanlah dengan segala gelaran yang lebih lembut dari itu, maka anda sudah 'berjaya' menghadirkan seorang lagi wanita dalam hidup. Walaupun anda seorang pengecut, akhirnya anda tetap juga boleh berpoligami. Nak bernikah secara senyap tiada siapa yang menghalang. Go ahead and be my guest. Anda mungkin tahu ancaman Allah SWT ke atas suami yang tidak berlaku adil. Namun keinginan kuat hendak beristeri lebih telah menjadikan anda rasa tidak tergolong dengan ancaman tersebut. Anda rasa anda mempunyai berbagai 'jastifikasi' untuk menjawab di hadapan Allah SWT nanti.

Saya hendak maklumkan di sini, dalam apa jua keadaan, BERANI sentiasa akan meletakkan anda selangkah ke hadapan dari yang lain. Setiap orang ada episod keberaniannya masing-masing dalam setiap perkara yang dilakukan. Disebabkan berani berhadapan hakikat dan berani mengambil resikolah maka anda berjaya mencapai sesuatu dalam hidup. Dalam dunia poligami, berani berterus terang akan menghadirkan rasa hormat isteri terhadap anda. Memanglah ia tidak ditonjolkan serta merta, tetapi hormat itu akan dengan sendirinya terbentuk dalam diri isteri dan ianya akan banyak membantu anda di masa hadapan.

Orang yang tidak berani berterus terang lazimnya hanya berfikir setakat "Janji aku boleh kawen". Namun bagi suami yang BERANI BERTERUS TERANG, setidak-tidaknya ada IDEA KEHARMONIAN dalam benak fikirannya. Dalam ertikata lain, tindakan berdiam diri lebih bersifat penting diri (selfish). Sedangkan berani berterus-terang dilihat lebih bersifat ingin menyantuni. Santun adalah sifat dan keperibadian mulia yang ditunjukkan Baginda Rasulullah saw. Inilah yang membezakan kualiti di antara dua jenis suami tersebut.

Dari sudut KEPERCAYAAN pula ia akan menghadirkan suasana "Membantah dalam taat". Ini amat berbeza jika isteri rasa dikhianati dan dianggap tidak penting dalam hidup suami. Jika isteri sebegini Membantah, mereka berpotensi untuk "Membantah di luar taat". Kesannya amat berbeza. "Membantah di dalam taat" tetap ada rasa hormat dan ingin menjaga batasan tertentu dalam usaha menzahirkan kekecewaan. Namun jika "Membantah di luar taat" lazimnya ia berpotensi hingga menginjak-injak maruah suami. Maka di situlah bermulanya sebuah keretakan yang menjurus pada penceraian.

Saya boleh runutkan lagi perkara ini. Namun cukuplah sekadar ini penjelasan saya. Pada Allah Ta'ala saya berserah.

Wallahua'lam

#HishamNamat
#SynergisticFamily
#BerdamaiDenganFitrah

No comments:

Post a Comment