Friday, April 26, 2019

LELAKI HANYA TAHU NAK POLIGAMI JE


Ada pihak yang masih tidak faham-faham akan kebaikan BERANI BERTERUS TERANG. Mereka gagal melihat dari sudut 'kemenangan' dua perkara ini iaitu:

1. KEBERANIAN
2. KEPERCAYAAN

Group Solusi Bahagia Berkongsi Kasih (SBBK) diwujudkan dengan tujuan mendidik dan 'memberi nampak' betapa pentingnya dua perkara di atas. Sesiapa pun boleh berpoligami. Bukan susah pun. Dengan hanya satu penipuan atau anda gelarkanlah dengan segala gelaran yang lebih lembut dari itu, maka anda sudah 'berjaya' menghadirkan seorang lagi wanita dalam hidup. Walaupun anda seorang pengecut, akhirnya anda tetap juga boleh berpoligami. Nak bernikah secara senyap tiada siapa yang menghalang. Go ahead and be my guest. Anda mungkin tahu ancaman Allah SWT ke atas suami yang tidak berlaku adil. Namun keinginan kuat hendak beristeri lebih telah menjadikan anda rasa tidak tergolong dengan ancaman tersebut. Anda rasa anda mempunyai berbagai 'jastifikasi' untuk menjawab di hadapan Allah SWT nanti.

Saya hendak maklumkan di sini, dalam apa jua keadaan, BERANI sentiasa akan meletakkan anda selangkah ke hadapan dari yang lain. Setiap orang ada episod keberaniannya masing-masing dalam setiap perkara yang dilakukan. Disebabkan berani berhadapan hakikat dan berani mengambil resikolah maka anda berjaya mencapai sesuatu dalam hidup. Dalam dunia poligami, berani berterus terang akan menghadirkan rasa hormat isteri terhadap anda. Memanglah ia tidak ditonjolkan serta merta, tetapi hormat itu akan dengan sendirinya terbentuk dalam diri isteri dan ianya akan banyak membantu anda di masa hadapan.

Orang yang tidak berani berterus terang lazimnya hanya berfikir setakat "Janji aku boleh kawen". Namun bagi suami yang BERANI BERTERUS TERANG, setidak-tidaknya ada IDEA KEHARMONIAN dalam benak fikirannya. Dalam ertikata lain, tindakan berdiam diri lebih bersifat penting diri (selfish). Sedangkan berani berterus-terang dilihat lebih bersifat ingin menyantuni. Santun adalah sifat dan keperibadian mulia yang ditunjukkan Baginda Rasulullah saw. Inilah yang membezakan kualiti di antara dua jenis suami tersebut.

Dari sudut KEPERCAYAAN pula ia akan menghadirkan suasana "Membantah dalam taat". Ini amat berbeza jika isteri rasa dikhianati dan dianggap tidak penting dalam hidup suami. Jika isteri sebegini Membantah, mereka berpotensi untuk "Membantah di luar taat". Kesannya amat berbeza. "Membantah di dalam taat" tetap ada rasa hormat dan ingin menjaga batasan tertentu dalam usaha menzahirkan kekecewaan. Namun jika "Membantah di luar taat" lazimnya ia berpotensi hingga menginjak-injak maruah suami. Maka di situlah bermulanya sebuah keretakan yang menjurus pada penceraian.

Saya boleh runutkan lagi perkara ini. Namun cukuplah sekadar ini penjelasan saya. Pada Allah Ta'ala saya berserah.

Wallahua'lam

#HishamNamat
#SynergisticFamily
#BerdamaiDenganFitrah

Friday, April 19, 2019

KEMAMPUAN BERTAAT



Dalam sistem kekeluargaan Islam, ketaatan isteri adalah sesuatu yang dituntut. Dari segi maksud syariatnya, ketaatan ini bersifat menyeluruh dan tidak berpilih-pilih. Ianya harus berlaku waima suami dalam kelalaian. Kaedah menegur suami bukanlah banyak tertumpu pada argument tetapi lebih kepada 'mainan halus' secara body language dan perilaku yang tidak banyak menyentap hati suami. Pendekatan ini amat berlawanan dengan kebanyakkan amalan agama lain. Lazimnya mereka banyak menggunapakai formula "My attitude is dependent on your attitude towards me". Ketaatan yang dicurahkan hanyalah bersifat "Suam-suam kuku sahaja".

Kepentingan taat di dalam Islam adalah bagi memastikan rumahtangga kekal utuh hingga ke akhir hayat. Ini kerana rumahtangga adalah medan kita mengetuk rahmat Allah SWT. Sedari awal Islam sudah menyedari bahawa rumahtangga bukan tempat menyemai sifat romantik yang berlebihan. Ia lebih kepada mencari kebahagiaan hati dan mengejar rahmat Ilahi. Ahli-ahli di dalam keluarga harus disedarkan betapa "Langit tidak akan selalunya cerah". Bila ujian melanda, nilai romantik yang dibanggakan itu tidak akan banyak dapat membantu. Nilai taat dan berhemahlah yang akhirnya menjadi bahtera penyelamat dalam setiap pergolakan besar.

Segala argumentative dari pihak isteri haruslah berlaku dalam suasana "DALAM BERTAAT". Sejauh mana anda pergi, anda akan tetap 'diikat dengan TALI TAAT '. Ini disebabkan jika 'tali' itu terputus dan argument telah mula melangkah hingga masuk ke sempadan "LUAR BERTAAT", maka ianya bukan lagi sesuatu yang 'sihat'. Di kala ini akan banyak unsur 'memijak maruah' berbanding mencari jalan penyelesaian. Jesteru itulah aturan yang digariskan Agama Fitrah ini benar-benar halus sifatnya. Anda tidak akan mampu memahaminya secara literal. Anda harus kuat menggali bagi mendapatkan status "Mukmin sejati".

Jesteru itulah Allah SWT berfirman:

"Dan para wanita mempunyai hak yang seimbang dengan kewajibannya menurut cara yang ma'ruf. Akan tetapi para suami, mempunyai satu tingkatan kelebihan daripada isterinya. Dan Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana"

(Al-Baqarah:Ayat 228)

Wallahua'lam

#HishamNamat
#PoligamiHarmoni
#SynergisticFamily
#BerdamaiDenganFitrah